Pernah suatu ketika dahulu, sebelum mengenali dakwah dan tarbiyah ini, dia juga seperti yang lainnya. Kalendar hariannya dipenuhi dengan pekerjaan-pekerjaan yang lebih kurang sama dengan yang lainnya, tiada yang istimewa. Begitu juga dengan akhlaknya. Sebelum menerima sentuhan tarbiyah ini, dia juga seperti kebanyakan remaja yang lain dari segi pemakaiannya, pergaulannya dan cara berhiburnya. Namun begitu, setelah beberapa ketika dia berada dalam dunia tarbiyah dan dakwah ini, segala yang ada pada dirinya perlahan-lahan berubah kepada yang lebih baik, Alhamdulillah! Syukur kepada Allah yang memberikan hidayah buatnya dan terima kasih juga kepada naqibnya yang sentiasa sabar dalam membimbingnya. Beransur-ansur dia meninggalkan jahiliyah yang pernah ada dalam hidupnya suatu masa dahulu. Perubahan yang berlaku pada dirinya tidak lah sesuatu yang begitu mendadak sehinggakan disedari oleh kenalan-kenalannya bahkan ahli keluarganya sendiri. Perubahan tersebut berlangsung dalam jangka waktu yang agak panjang, beberapa tahun lamanya. Dia bersyukur kerana perubahan yang berlaku secara perlahan-lahan ini selalunya lebih kuat dan lebih kekal laksana kata-kata pujangga, “perubahan itu biar seperti terbitnya matahari, kita tidak sedar akan terbitnya sehinggalah akhirnya kita hanya tersedar apabila bumi ini sudah terang disimbahi cahayanya.” Seiring dengan perubahan dan pilihan hidup yang diambilnya, banyak lah perkara-perkara jahiliyah yang menyeronokkan terpaksa ditinggalkan. Di saat anak muda yang lain boleh berpasang-pasangan dengan kekasih masing-masing, dia tegar menahan ajakan nafsu kerana berazam meninggalkan selamanya jahiliyah yang pernah dia lakukan dulu. Bukan sebentar, bahkan bertahun lamanya perasaan cinta dan perasaan untuk berkasih sayang dan mendapat perhatian itu dibukukan dalam hatinya tanpa sepatah kata atau tindakan yang diambil untuk menuruti hajat di hati. Semuanya itu dia lakukan dengan hanya mengharap redha daripada Allah. Lalu pada suatu hari, saat dia sudah merasakan waktunya telah tiba untuk dia berkongsi rasa, memberi kasih kepada yang halal, Allah telah temukan dia dengan anda. Ya, andalah teman hidupnya kini! Andalah insan yang dia nantikan selama ini untuk dia dapat beribadah kepada Allah walau dalam keadaan memenuhi fitrah manusiawinya. Anda akan jadi tempat untuk dia melipat gandakan pahalanya di sisi Allah dan saat itu dia juga berharap agar cinta dan kasih yang disimpan bertahun lamanya itu akan dapat dicurahkan semahunya kepada anda dengan harapan lahirlah keluarga yang sakinah, mawaddah, wa rahmah. Ingatlah, walaupun sepanjang perkenalan anda dengannya, anda dapati dia merupakan seorang yang sangat komited dan tinggi pengorbanannya dalam dakwah ini, dia tetap manusia biasa, seperti juga anda dan yang lainnya. Untuk itu, dia punya hak yang perlu anda tunaikan sebagai pasangannya. Walaupun di hadapan ikhwah dan akhawat yang lainnya dia kelihatan serius dan tegas dalam berurusan, tidak bermakna anda perlu teruskan keadaan begitu dalam hal rumahtangga. Saat bersama anda, dia juga ingin menjadi manja, ingin merajuk dan dipujuk, ingin bergurau dan berkongsi cerita. Ketika itu, jangan lah anda pula yang tiba-tiba menjadi keras membatu seolah-olah sedang menghadiri mesyuarat agung tahunan. Dia juga manusia biasa, seperti juga anda dan yang lainnya. Kadang-kala ada dari sikapnya yang kurang enak pada pandangan anda, jangan terus menghukumnya. Pandanglah dia dengan kaca mata manusiawi kerana dia bukannya malaikat atau bidadari yang diturunkan dari syurga untuk anda. Dia punya banyak kelemahan yang sebenarnya turut dimiliki oleh anda. Maka berlapang dada lah, dan bersabar lah. Sesungguhnya lebih banyak kebaikan yang telah dia bawa ke dalam hidup anda berbanding sedikit cacat celanya itu. Jika masyarakat barat hari ini mampu untuk meraikan hari-hari istimewa bersama pasangannya dengan cara yang kita rasakan hanya wujud di dalam filem, mengapa tidak anda yang faham agama ini? Walaupun umumnya, bangsa kita ini agak sukar menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada pasangan masing-masing, Agama menyuruh kita yang sebaliknya. Rasulullah saw mengajar kita supaya menjadi yang paling baik pada pasangan kita. Jadi, seharusnya anda yang faham agama inilah yang menjadi contoh keluarga yang paling ‘sweet’ di muka bumi ini. Akhir sekali, artikel ini ditulis sebagai penghargaan daripada seorang manusia biasa kepada manusia biasa yang lainnya. Jika ada nasihat berguna yang dapat diambil pakai dalam kehidupan harian kita dalam berkeluarga, maka dengan besar hatinya silakan. Kepada yang belum berkeluarga, marilah berazam untuk menjadi teman yang paling ‘sweet’ untuk pasangan anda nanti, kerana anda tahu bahawa dia juga manusia biasa..
# Artikel ini hasil tulisan sorg sahabat dan saya ingin berkongsi untuk semua yg belum membaca tentang artikel ini ... Wasalam ..