“ Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang
bertudung !”
“ Haa? Kenapa?”
“ Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup
aurat.”
Alhamdulillah.. Tersenyum hati mendengar
jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga
diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki. Bayangkanlah,
pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup
aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah
perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan RasulNya sahaja yang
terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.
Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang
berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung?
Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak
semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata
kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada.
Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya,
mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.
Wahai Nabi, katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin:
"Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang
demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan
diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.[33:59]
Faktor inilah yang menyebabkan
lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri.
Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima
enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang ‘bertudung tapi
mendedahkan aurat’. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau
tidak dilayan.
Bagaimana pula dengan wanita yang langsung
tidak bertudung ? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan
menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan
yang bertudungpun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang
langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
“ Cerewet sungguh orang-orang mukmin!”
Ya.. memang cerewet ! hehee..
Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana
satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus
separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang
berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.
Begitulah juga dengan orang-orang mukmin.
Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga
diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di
dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka
akan hilanglah bahagia dikemudian hari.
Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan
kepada kita semua ;
“Wanita dinikahi kerana empat perkara;
kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan
kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika di tanya oleh para
sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah
menjawab,
" Wanita yang menyenangkannya ketika
dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak
mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya
pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan
aurat dikhalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan
kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara
keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup
diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan
diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu
beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.
“ Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia
ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara
sempurna, apa boleh buat.. memilih-milihpun tiada guna.”
Ya.. Jodoh memang sudah ditentukan oleh
Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia
yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu
dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan
menzalimi hambaNya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNya.
Lelaki baik yang beriman pasti akan
berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak
beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Demikianlah
perempuan yang tidak mentaati Allah dengan menjalankan Islam secara sepenuhnya
akan berkahwin dengan lelaki yang berperwatakan sepertinya. Itu janji Allah!
Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat
dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan
RasulNya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang
bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa
diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan
sikap pasangan kita kemudian hari.
~WASALAM~
~tunMUJA~
No comments:
Post a Comment