Assalamualaikum WBT sahabat
sekalian... 3 hari lagi menjelang PRU13 maka saya ingin mengajak sahabat
sekalian merenung akan pertimbangan yang wajar kita ambil sebelum mengundi pada
5 MEI 2013 nanti.Pilihanraya umum ke 13 menjelang tiba, namun masih kedengaran
bicara-bicara yang menggambarkan ketidakendahan politik, seperti “semua parti
sama sahaja” dan “kalau sudah ahli politik, tetap ahli politik”. Bagi golongan
muda yang menjadi majoriti di kalangan 3.7 juta pengundi baru kali ini, keluar
mengundi seolah-olah disamakan dengan tugasan “memilih yang kurang jahat di
antara dua penjahat”.
Namun begitu perlu
diingat pesanan Pericles bahawa walaupun anda tidak peduli politik, politik
akan peduli dengan anda. Kita bertanggungjawab memilih kerajaan kerana Rosseau
mengatakan kerajaan yang tidak baik akan melahirkan masyarakat yang tidak baik!
Demokrasi-demokrasi
moden seperti UK dan Amerika Syarikat mempamerkan ideologi yang ketara berbeza
di dalam sistem politik mereka. Ada parti-parti berhaluan kiri seperti Labour
di UK dan Democrat di AS, dan ada parti-parti bersifat pro-pasaran bebas dan
perniagaan, seperti Republicans di AS dan Conservatives di UK. Situasi ni
menatijahkan perubahan yang jelas dan berkeseluruhan dalam dasar awam dan
haluan strategik negara terbabit. Perubahan seperti kadar cukai lebih daripada
70 peratus era President Carter boleh diubah mendadak sehingga diturunkan bawah
40 peratus apabila pemerintahan diambil alih Reagan dan tidaklah sesuatu yang
terlalu mengejutkan ketika itu.
Perubahan ideologi dan
polisi dilakukan dengan penuh daya berlandaskan ideologi dan teori falsafah
politik. Hal ini sebenarnya menghasilkan set data dan pemerhatian yang sangat
penting demi membantu proses menilai dan menganalisa kembali kesan-kesan
ideologi-ideologi yang berbeza terhadap keadaan status ekonomi.
Situasinya berbeza di
Malaysia. Kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kelihatan
tidak terlalu jelas meletakkan diri di mana-mana kedudukan di atas paksi
falsafah politik. Namun, satu perkara cukup jelas; rakyat Malaysia tanpa
disedari telah berevolusi dengan suara yang sama; isu-isu yang menjadi
kerisauan ialah kos kehidupan dan soal jenayah dan keselamatan, seperti yang
dilaporkan dalam bancian terkini Merdeka Center.
Benar, bicara ketuanan
kaum dan tuntutan hak keterbilangan kaum terus-menerus dilontarkan dalam pilihanraya
kali ini, tetapi perbincangan isu-isu ketidaksamarataan harta dan pendapatan,
kos kehidupan yang meningkat dengan mendadak, akses kepada pendidikan dan gaji
kecil lebih diutamakan. Hal ini merubah sama sekali lanskap dan hala tuju
politik negara; daripada politik-kebangsaan, kepada diskusi berasaskan
perjuangan kelas dan status sosial.
Lantas,
perkara-perkara yang kelihatan mesra-rakyat menjadi begitu penting dalam
manifesto kedua-dua belah pihak; menjadikan penulisan manifesto itu sebagai
suatu usaha populis. Maka, dalam usaha kita untuk menjadi seorang pengundi yang
bermaklum, wajar jika kita meneliti dan belajar membaca mesej sebenar yang
tersirat di sebalik pelbagai janji fizikal ini.
Fakta-fakta realiti
Malaysia
Sebelum membedah
manifesto, wajar kita “turun padang” untuk mengenalpasti realiti-realiti di
Malaysia secara menyeluruh. Hanya dengan cara ini kita dapat membuat pilihan
yang tepat dan sesuai.
Penduduk Malaysia kini
mencecah 29.6 juta. Majoriti penduduk adalah Bumiputera (61 peratus), Cina (24
peratus) dan India (7 peratus). Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita
Malaysia ialah US$9,970 (RM29,910) dengan 12.7 juta tenaga pekerja, termasuklah
2.0 juta tenaga buruh asing berdaftar. Kemudian pula, terdapat 2.0 juta
pendatang asing tanpa izin. Sehingga 2011, seramai 827,000 rakyat Malaysia
bekerja di luar, manakala yang berjaya dibawa pulang oleh inisiatif TalentCorp
di bawah Pemandu kurang daripada 2,000.
KDNK Malaysia
menghampiri RM1.0 trillion, di mana 47 peratus daripada-nya perkhidmatan, 41
peratus industri dan 12 peratus pertanian. Hutang negara berjumlah RM546.0
billion, ataupun 53 peratus daripada KDNK yang majoritinya hutang tempatan.
Nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan boleh-belanja merupakan antara yang
tertinggi di dunia, melepasi AS, iaitu 140 peratus. Untuk setiap RM1 gaji yang
di bawa pulang terdapat RM1.40 nilai hutang.
Negara-negara
berkebajikan, dan OECD, secara puratanya menggunakan 20 peratus daripada KDNK
untuk perbelanjaan sosial, iaitu kesihatan dan pendidikan. Malaysia pula hanya
membelanjakan 4.1 peratus untuk tujuan pendidikan, dan 4.4 peratus untuk tujuan
penyediaan perkhidmatan kesihatan, meletakkan kita di tangga ke-101 dan ke-156
di dunia. Malaysia juga antara tertinggi di Asia untuk ukuran ketidaksamarataan
pendapatan antara yang kaya dan yang miskin.
Unjuran pendapatan
negara untuk 2013 ialah RM208.6 billion, manakala RM201.9 billion buat operasi
harian kerajaan dan RM49.7 billion untuk pembangunan. Defisit fiskal ialah 4
peratus daripada KDNK.
Transparency
International melaporkan kira-kira RM28.0 billion lesap setiap tahun akibat
rasuah dan ketirisan di Malaysia. Asian Wall Street Journal pula meletakkan
Malaysia di kedudukan tertinggi dunia dalam bancian persepsi rasuah.
Usai melihat
fakta-fakta reality Malaysia, manifesto manakah yang lebih mampan, menambah
pendapatan negara serta boleh memacu pertumbuhan sambil melindungi poket kita
sebagai rakyat biasa?
Laporan prestasi
2008-2013
Secara umumnya,
terdapat beberapa janji-janji BN dalam Manifesto 2008 yang telah dilaksanakan.
Masalahnya ia sukar dinilai secara kuantitatif. Sebahagian besar janji-janji
2008 BN terlalu samar, umum dan sukar dibandingkan dengan mana-mana penanda
aras.
Namun begitu, terdapat
kes-kes jelas seperti lima koridor ekonomi yang diperkenalkan pada zaman Tun
Abdullah Ahmad Badawi yang tidak lagi menerima perhatian kerana pertukaran
tampuk pemerintahan kepada Datuk Seri Najib Razak. Lalu timbul persoalan; jika
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kedudukan Perdana Menteri, mungkinkah
janji-janji Manifesto 2013 ini akan turut dilupakan?
Manifesto BN 2008
menjanjikan 2.0 juta peluang pekerjaan, tetapi kurang daripada 1.0 juta
pekerjaan dicipta dalam tempoh 5 tahun lepas. Rasuah, penyalahgunaan, dan
kejadian-kejadian maut yang meragukan terus berleluasa; sebahagiannya terdedah
kepada pengetahuan umum seperti skandal PKFZ, lembu dan kondominium mewah
National Feedlot Corporation (NFC), kapal selam Scorpene, kes-kes tahanan SPRM,
cincin berlian dan terlalu banyak lagi untuk disenaraikan di sini. Ramai
bersetuju hanya dengan mendapat sebuah kerajaan yang telus dan bersih dari
rasuah sahaja sudah cukup untuk menghasilkan pulangan yang lumayan kepada
rakyat biasa dan memacu pertumbuhan negara.
Kenaikan kos kehidupan
yang meruncing terus menerus membebankan rakyat. Walaupun BN berjanji
mengurangkan defisit fiskal negara, namun BN telah terlebih berbelanja
sepanjang 15 tahun kebelakangan ini. Berbanding dengan negeri di bawah
pengurusan dan pimpinan PR; laporan Ketua Audit Negara sendiri telah melaporkan
negeri-negeri PR di urus dengan pengurusan kewangan terbaik. Hutang Pulau
Pinang telah dilunaskan sebanyak 95 peratus dan pendapatan telah meningkat 47
peratus. Selangor pula menambah simpanan sebanyak RM1.2 billion iaitu rekod
tertinggi dalam tempoh 28 tahun. Kelantan pula memperlihatkan peningkatan 58
peratus dalam jumlah dana tergabung.
Manifesto: Barisan
Nasional (BN) lawan Pakatan Rakyat (PR)
Manifesto BN 2013
kelihatan seperti perkara yang sama dengan Manifesto 2008, tanpa perubahan
ketara pada asas dan strukturnya, bezanya Cuma ditambah ole-ole dan bantuan
kewangan yang banyak. Manifesto BN kali ini 150 janji dalam 17 kategori
berbeza. Soalnya, adakah janji-janji ini dapat dikekalkan ataupun sekadar
memenuhi keperluan strategi memenangi hati pengundi?
Manifesto ini juga
kelihatan lesu dan tidak gagah memperjuangkan perubahan penting yang perlu
dilaksanakan, seperti pemansuhan bayaran pampasan yang lumayan kepada penjana
elektrik bebas (IPP) dan perombakan semula konsesi yang diberi kepada syarikat
yang mempunyai hubungan politik dengan pemerintah. Tidak juga disebut keperluan
mengurangkan beban tol jalan raya kepada rakyat (yang boleh mengembalikan RM5.0
billion kepada poket rakyat), mengurangkan kos belanja hidup rakyat, mahupun
pembaharuan semula dasar pengambilan tenaga buruh asing.
Lebih merisaukan lagi,
manifesto ini juga tidak menyentuh usaha membasmi gejala kronisme, pemberian
kontrak secara telus dan terbuka, serta pengkajian semua struktur-struktur
industri dan pasaran bersifat monopoli yang akhirnya membebankan para pengguna.
Dalam isu pendidikan,
Manifesto BN 2013 menawarkan dasar-dasar perlindungan yang sama terhadap
sekolah-sekolah vernakular, cuma ditambah sekolah agama, sekolah mubaligh dan
pendidikan khas dalam kategori terbabit.
Satu perkara yang
menjolok mata adalah apabila BN juga berjanji menaikkan taraf pendidikan
Malaysia kepada kedudukan pertiga teratas, walhal Malaysia kini berada di
kedudukan pertiga tercorot. Bagaimanakah ini dapat dilaksanakan dalam masa
singkat 5 tahun?
Pelan Dasar Pendidikan
2013-2025 pula melaporkan 15 peratus daripada sekolah-sekolah di Malaysia masih
tidak mendapat bekalan air yang bersih. Selain itu, 20 peratus sekolah-sekolah
tidak dibekalkan dengan makmal sains yang lengkap dan 27 peratus masih tidak
dibekalkan dengan makmal komputer yang baik. Isu-isu ini perlu segera
diselesaikan. Jika dibandingkan dengan manifesto PR, PR menjanjikan pembinaan 5
buah universiti teknikal dan 25 buah sekolah vokasional dan pendidikan percuma
dengan menghapuskan PTPTN.
Dalam cadangan
perumahan, BN menjanjikan perumahan mampu-milik seperti Manifesto-nya pada
tahun 2008, cuma kali ini 1.0 juta buah dalam masa lima tahun. Hal ini
dirasakan kurang munasabah jika dibandingkan dengan target PR yang lebih
realistik iaitu 125,000 rumah. Statistik menunjukkan setakat hujung 2011, hanya
terdapat 4.1 juta unit rumah di Malaysia.
Manifesto BN tahun
dijangka dapat mengurangkan RM1,500 daripada perbelanjaan hidup rakyat Malaysia
setahun berbanding Manifesto PR yang boleh mengurangkan RM5,500 dari
perbelanjaan setahun dan membesarkan poket rakyat. Bagaimanakah kaedah
perlaksanaan PR mengurangkan kos hidup rakyat? Ini dapat dicapai melalui
penurunan harga minyak, elektrik, air, kereta, pendidikan percuma, tol yang
menindas rakyat secara monopoli oleh konsesi, serta penetapan gaji minimum pada
kadar RM1,100 secara berperingkat, dan pengurangan kebergantungan kepada buruh
asing.
Bagaimana pula dengan
GST? Pemandu memperjuangkannya dan ia pastinya dalam perancangan. Walaupun
begitu PR melihat rakyat Malaysia masih tidak mampu menelan beban GST dan
meletakkannya dalam pelan jangka masa panjang.
BN menjanjikan
pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.3 peratus dan status Negara berpendapatan tinggi
pada tahun 2020, manakala PR menjanjikan pertumbuhan ekonomi sebanyak 7
peratus.
Perbezaan keduanya
sangat halus, tetapi cukup mendalam. Perubahan tidak mungkin boleh berlaku jika
kerja transformasi yang dilakukan hanyalah dengan menampal sistem sedia ada,
dan bersifat berpandangan singkat. Perombakan politik sangat diperlukan untuk
merungkai semua ketidakcekapan dan ketirisan dalam sistem yang sedia ada. Walau
satu hingga dua juta pun rumah mampu-milik yang mampu disediakan, siapa pula
yang bakal menjadi kontraktor kepada projek-projek besar ini dan bagaimana pula
pemberian tanah untuk tujuan pembinaan rumah-rumah tersebut?
Apakah sistem insentif
yang tersedia untuk kontraktor dan syarikat-syarikat pembangunan ini, dan yang
terhasil demi memastikan rumah mampu-milik ini tidak jatuh ke tangan mereka
yang tidak layak menerimanya (gaji melebihi aras yang ditetapkan sebagai
layak)? Adakah mereka yang menggunakan pintu belakang akan terus diberi pengecualian
untuk diperuntukkan rumah secara murah?
Manifesto BN
mencadangkan penurunan harga kereta sebanyak 20-30 peratus secara berperingkat.
Tetapi, isunya lebih besar daripada itu. Yang penting ialah perubahan dalam
kaedah-kaedah pemberian lesen dan AP yang kini menyebelahi kepentingan para
kroni mereka yang berkuasa.
Jika dibandingkan
dengan manifesto PR, di samping penurunan harga kereta, terdapat daya politik
yang kuat memperjuangkan perubahan dasar kepada yang lebih berintegriti melalui
cadangan seperti pelelongan AP. Manifesto BN langsung tidak membicarakan
penurunan harga minyak. Manifesto PR pula mahu mengurangkan harga petrol di pam
sehingga 40 sen seliter melalui pemansuhan subsidi gas kepada IPP. Cadangan ini
walaupun begitu dipersoalkan sebagai tidak “sustainable”.
Jadi nak undi siapa?
Pertama sekali,
nilailah garis asal kedudukan Malaysia dari sudut sosio-ekonomi. Setelah
mengenal pasti tema-tema penting seperti ketidaksamarataan, kualiti pendidikan,
dan kos kehidupan, pertimbangkanlah pula apa sebenarnya yang Malaysia perlukan?
Adakah kita mahukan perubahan di peringkat akar berbekalkan daya politik yang
tinggi walaupun menelan belanja yang tinggi, ataupun dasar-dasar bersifat
sementara dan di permukaan yang juga menelan belanja yang tinggi?
Adalah sukar untuk
bersetuju 100 peratus dengan semua yang dicadangkan oleh kedua-dua manifesto BN
mahupun PR; mana tidaknya, tujuannya pun adalah untuk meraih undi rakyat. Lalu,
tidaklah menjadi masalah, malah adil, jika kita meneliti kedua-dua manifesto
dengan pandangan secara lebih luas, menyeluruh dan holistik dan bukanlah dari
satu-satu isu serta sudut sahaja.
Jika anda berpuas hati
dengan kedudukan sekarang, takutkan perubahan, malah gembira dikategorikan
sebagai layak untuk menerima “angpow” kebajikan seperti BR1M, anda wajar
mengundi Barisan Nasional. Namun, jika anda merasakan terdapat keperluan untuk
Ubah, membaik pulih kehidupan anda dan anak-anak anda, melalui perubahan
dasar-dasar pada peringkat asasnya dengan melantik kerajaan yang menawarkan
ketelusan dan bersih rasuah, maka PR-lah yang wajar menerima sokongan dan
undian anda. Ramai sudahpun bersedia untuk kemungkinan mempunyai kerajaan yang
sedemikian, di mana bukti telah pun ditunjukkan selama pemerintahan PR di 4
buah negeri.
Adalah satu perkara
gila untuk mengharapkan perubahan dengan mengundi “status quo” seperti kata
Albert Einstein, “Gila itu adalah melakukan perkara yang sama berulang-ulang
kali, dan mengharapkan keputusan yang berbeza.”
Undi anda berharga!
“Tiada seorang pun yang cukup layak untuk mengatur dan menjaga seorang yang
lain, jika tanpa kerelaan orang itu sendiri.
~ SAYA Bukan Ahli Politik tapi Ahli Bicara Politik ~
WASALAM ..
TunMuja