Sunday, 30 September 2012

Pemimpin dan Ilmu


Daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu Al-‘Ash R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan mencabutnya dari (dada) hamba-hambanya. Tetapi ALLAH SWT mencabut ilmu dengan mencabut (nyawa) para ulamak. Hingga bila sudah tidak ditinggalkan sesiapa lagi yang alim (berilmu), manusia melantik orang-orang jahil menjadi pemimpin. Bila mereka ditanya, mereka membuat keputusan tanpa ilmu. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula". (Riwayat Al-Bukhari)
ULASAN  AYAT:
  1. Keperluan mempersiapkan diri dengan ilmu ini bukan sekadar untuk menjayakan kepimpinan dan manfaat umat sahaja. Bahkan, kita lebih kerap diingatkan tentang kehancuran dan kemusnahan yang berlaku adalah natijah daripada kejahilan manusia yang menjadi pemimpin. Khalifah Umar bin al-Khattab telah mengingatkan kita tentang perlunya ilmu sebelum menjadi pemimpin. Beliau menegaskan:"Hendaklah kamu belajar menjadi faqih sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin".(Riwayat Al-Bukhari)
  2. Untuk menjadi pemimpin dan pengurus sesuatu perkara, manusia memerlukan ilmu. Seorang suami, perlu mengetahui ilmu tentang tanggungjawab suami, yang akan dipersoalkan oleh Alllah. Seorang pekerja perlu mengetahui kemahiran tentang kerjanya, juga hubungannya dengan agama. Kerana dia akan disoal oleh majikannya, juga oleh Allah SWT. Seorang pengurus syarikat perlulah mengetahui selok belok perniagaannya. Bukan lembaga pengarah sahaja yang akan menyoalnya, bahkan Allah SWT juga akan menyoalnya kerana Allah SWT lah yang telah mengurniakannya kedudukan sebagai pengurus.
  3. Apatah lagi bila perkara yang diuruskan itu berkait dengan urusan orang ramai, urusan agama dan lain-lain, tentulah lebih besar lagi keperluan ilmu dan kefahamannya. Lantaran itu hendaklah kita takut dan bimbang, dan berusaha supaya tidak tergolong di kalangan pemimpin yang sesat dan menyesatkan seperti dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w tadi.
  4. Renung-renungkan dan selamat beramal.  WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment