Assalamualaikum wbt,
Alhamdulillah tsumma alhamdulillah, setinggi-tinggi
pujian pada Allah swt yang Maha Memelihara, sepanjang-panjang rasa syukur
padaNya yang Maha Mendengar dan Memberi, sesungguhnya kita sebagai hamba
sentiasa fakir dan memerlukan Allah yang Maha Mengurniakan.
Islam dengan Syariatnya yang bersifat kekal,
prinsip-prinsipnya yang bertolak ansur, ia telah mengatur beberapa dasar
berkaitan pertunangan. Ia juga telah meletakkan aturan-aturan yang praktikal
dalam menuju alam rumahtangga. Dasar dan prinsip ini jika diikuti oleh pemuda
dan kaum muslimin ketika memilih pasangan hidup, nescaya pertunangan mereka
akan berjaya dan perkahwinan mereka akan bahagia. Bahkan akan lahir rasa cinta
dan kasih sayang antara mereka dengan kehidupan dinaungi bayangan perkahwinan
yang harmoni atas dasar muafakat dan saling memahami antara satu sama lain.
Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan
pertunangan?
Dan apakah asas-asas yang berkaitan dengannya?
Pertunangan
dapat diertikan dengan tindakan seorang lelaki meminang seorang perempuan
sebelum berlakunya proses akad nikah. Ia dilakukan untuk mengetahui sama ada
hajatnya itu diterima atau ditolak. Proses peminangan dibuat dengan mengumpul
maklumat-maklumat yang mencukupi berkenaan si perempuan yang ingin dipinang. Ia
boleh dilakukan oleh peminang itu sendiri atau wakilnya yang dithiqahi
(dipercayai) dari kalangan keluarganya atau sahabat-sahabatnya.
Pertunangan bertujuan agar pasangan
yang ingin berkahwin dapat menempuh gerbang perkahwinan dalam keadaan pemikiran
yang mendalam serta mendapat hidayah, sekaligus dapat menghindari masalah serta
pertelingkahan dalam kehidupan rumatangga yang mungkin timbul pada masa akan
datang, dan pada masa yang sama, ia dapat mengeratkan lagi ikatan antara
keluarga suami dan keluarga isteri serta anak-anak dan sanak saudara mereka.
Dasar-dasar berkaitan peminangan adalah merujuk
aturan berikut:
1) Melihat
wanita yang ingin dipinang
Islam telah mensyariatkan agar peminang melihat perempuan yang ingin
dipinangnya. Begitulah juga si perempuan disyariatkan melihat si lelaki. Ia
bertujuan untuk mengetahui dengan jelas siapa gerangan yang bakal menjadi
pasangan (bagi menghabiskan) umur dan menjadi rakan kongsi kehidupan mereka.
Asas pensyariatan ini adalah merujuk kepada kisah al-Mughirah bin Sh'ubah
ketika mahu meminang seorang perempuan, lalu baginda Nabi sallallahu
'alayhi wa sallam berpesan kepadanya:
“Tengoklah perempuan itu.
Mudah-mudahan ia dapat mengekalkan kasih sayang antara kamu berdua”.
(HR
al-Bukhari, al-Turmidhi, al-Nasa’i dan Ibn Majah)
Hadis ini menunjukkan bahawa melihat pasangan
itu boleh membawa kepada penerusan kasih sayang dan kelunakan hati. Hadith yang
lain pula mengisahkan bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi sallallahu Ñalayhi
wa sallamlalu menyuarakan hajat ingin menikahi seorang perempuan dari
kalangan kaum al-Ansar. Lalu Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam bertanya:
“sudahkah kau tengok perempuan itu?” dia menjawab: “belum”.
Baginda pun menerangka)
“Tengoklah
dia. Kerana pada mata kaum al-Ansar itu ada keunikan (matanya sepet)”.
(HR Muslim dan al-Nasa’i)
Walau bagaimanapun,
dalam proses menengok ini ada adab-adabnya yang perlu dijaga:
i. Tak boleh peminang melihat si
perempuan kecuali setelah dia benar-benar berazam mahu berkahwin. Nabi sallallahu
'alayhi wa sallam bersabda:
“Jika Allah telah menggerakkan hati seorang
lelaki untuk masuk meminang perempuan, tiada salahnya untuk dia melihat
perempuan itu”
(HR Ahmad dan Ibn Majah)
ii.Tak boleh peminang melihat perempuan kecuali pada
anggota muka dan dua pergelangan tangannya sahaja. Ini kerana tuntutan melihat
(di dalam hadis) hanya terbatas kepada anggota yang dua itu lantaran muka itu
umpama pancaran anggota badan manakala dua pergelangan tangan adalah anggota
yang terzahir menurut adat.
Tuntutan melihat yang hanya menghadkan
kepada muka dapat difahami melalui pesan Nabi sallallahu 'alayhi wa
sallam kepada seorang lelaki: “Tengoklah dia. Kerana pada mata kaum
al-Ansar itu ada keunikan”. Manakala tuntutan melihat yang membataskan
hanya kepada muka dan dua pergelangan tangan adalah berdasarkan kisah Nabi sallallahu
'alayhi wa sallam yang menghantar Ummu Sulaym untuk
meminang seorang perempuan, lalu Baginda berpesan kepadanya:
“Lihatlah kedua kakinya dan ciumlah
pipinya”.
(HR al-Hakim)
Jika melihat
kepada selain muka dan dua pegelangan tangan itu diharuskan, maka sudah tentu
Baginda sendiri yang akan melakukannya.
iii. Dibolehkan untuk melihat si perempuan
berulang kali agar bayangan calon isteri meresap pada perasaan. Keharusan ini
adalah berdasarkan hadis: “lihatlah perempuan itu” yang tidak meletakkan
had melihat sama ada sekali, dua kali atau berulang-ulang kali.
iv. Semasa majlis pertunangan berlansung, dibolehkan
untuk perempuan bercakap dengan si lelaki, begitulah juga sebaliknya. Keharusan
ini merujuk kepada pendapat majoriti fuqaha yang berpandangan bahawa suara
wanita bukanlah aurat. Sungguh Nabi sallallahu 'alayhi wasallam sendiri
bercakap dengan perempuan dan Baginda mendengar bicara mereka. Begitu juga para
Sahabat ridwanullahi 'alayhim, mereka bertanyakan isteri-isteri
Nabi di sebalik tabir akan perihal hadis dan hukum-hakam.
v.Tak boleh bersalaman dengan si perempuan sebelum
berlakunya akad nikah dalam apa keadaan sekalipun, kerana dia tetap ajnabiyyah
(wanita asing) dan ajnabiyyah ini diharamkan bersalaman dengannya. Peraturan
ini adalah bersumberkan kalam ‘A'ishah radiyallahu 'anha bahawa:
“Demi Allah!
Nabi sama sekali tidak menyentuh tangan wanita ketika berbai'ah. Bai'ah itu
dilakukan dengan kata-kata” (HR al-Bukhari)
vi. Tak dibolehkan berdua-duaan antara pasangan
bertunang kecuali dengan kehadiran mahram si perempuan kerana Islam
mengharamkan bersendirian dengan perempuan ajnabiyyah. Nabi sallallahu
'alayhi wa sallam menegaskan:
“Ketahuilah! Janganlah seorang lelaki bersendirian dengan seorang
perempuan dan jangan juga bermusafir dengannya kecuali disertai oleh mahramnya”. (al-Bukhari dan Muslim)
vii. Dibolehkan untuk peminang melihat si
perempuan dalam keadaan tanpa disedarinya seperti mana sabda Nabi sallallahu
'alayhi wa sallam:
“Jika
seseorang di antara kamu meminang perempuan, maka tiada halangan untuk kamu
melihatnya, walaupun dia tidak mengetahui”. (HR Ahmad)
Islam
telahpun menggariskan adab-adab yang perlu dipatuhi pasangan bertunang. Siapa
yang melampui batasannya dan mengambil jalan yang bukan dari Islam, maka
dosalah yang layak untuknya dan dia telah menyanggahi Syariat.
Dukacita jika
kita menyorot realiti masyarakat hari ini, kita akan mendapati kebanyakan
mereka mengambil mudah urusan pertunangan dan ia
berlaku dalam bentuk dua kelompok:
Pertamanya, kelompok yang menghalalkan segala macam cara
pergaulan tanpa dibatasi adab sopan dan peraturan Islam. Mereka bebas bergaul
dengan pasangan tunangnya sesuka hati tanpa had, dengan alasan, mahu mengenali
akhlak dan tabiat perangai pasangan masing-masing. Ketahuilah bahawa alasan ini
adalah batil lagi tertolak. Bahkan Islam sungguh-sungguh memerangi perbuatan
ini kerana ia menafikan prinsip kemuliaan wanita dan sistem Islam itu sendiri.
Sesungguhnya
bagi yang mempunyai akal dan kecerdikan, pasti dapat melihat bahawa pergaulan
bebas lagi tiada akhlak ini akan membawa kepada kebobrokan sahsiah dan hubungan
yang meragukan. Imej perempuan boleh jadi dipandang buruk, bahkan jauh lebih
buruk dari si lelaki kerana apabila si perempuan ditinggalkan dengan alasan dia
tidak sesuai dengan si lelaki, maka akan ditohmahlah maruah si perempuan ini
dan dibuat bahan pelecehan masyarakat. Akibatnya, jadilah dia anak dara tua
yang tak laku dengan harga seperti barang buangan.
Bagi orang
yang mempunyai kefahaman, pasti dia dapat menyedari bahawa di dalam pergaulan
bebas ini, pelakunya tidaklah dapat mengetahui akhlak tunangnya kerana
masing-masing berpura-pura ibarat berlakon di atas pentas lawak lagi dusta.
Sudah berapa
banyak kita dengar tentang pertunangan yang tidak berakhlak ini gagal mengecapi
kedamaian rumahtangga, gagal mencapai cinta dan kelembutan antara suami isteri,
bahkan pertunangan yang berdosa ini diakhiri dengan penceraian.
Keduanya, kelompok yang fanatik dan keras tanpa dikawal
dengan akhlak Islam. Mereka menolak sunnah Nabi dalam melihat tunang, bahkan
ada ibu bapa yang terlalu berkeras hingga melarang si lelaki melihat anak
perempuan mereka kecuali setelah tiba malam pertama.
Bagi orang
yang faham dan berfikir, dia akan mengetahui bahawa sifat berkeras ini bukan
dari Syariat Islam. Bahkan dalam kebanyakan situasi, sifat terlalu berkeras
inilah yang menghilangkan nikmat perkahwinan dan kebahagiaan rumah tangga.
Akibatnya, anak perempuan tidak dipinang orang dan duduklah dia di penjuru
rumah bersama mereka yang tak laku.
Oleh itu,
bagi pasangan yang bertunang, begitu juga para penjaga anak perempuan,
beriltizamlah kalian dengan batasan-batasan Allah 'azza wa jalladalam
menguruskan pertunangan dan perkahwinan. Jika kalian mahukan kemuliaan seorang
wanita, kesolehan seorang lelaki, keselamatan rumahtangga serta masyarakat yang
berakhlak, maka cermatilah ayat ini:
“Itulah batasan-batasan Allah maka jangan kamu
melampauinya! Siapa yang melanggar batasan Allah, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.”
[al-Baqarah:229]
2) Masuk meminang tunangan orang lain
Jika seorang lelaki yang baik agamanya masuk
meminang seorang perempuan yang bagus akhlaknya, lalu pinangannya diterima oleh
si perempuan dan keluarganya, maka diharamkan bagi lelaki lain untuk masuk
meminangnya kecuali jika putus ikatan pertunangan tadi atau lelaki itu memberi
izin. Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam telah bersabda:
“Janganlah
seorang lelaki meminang atas pinangan saudaranya hinggalah peminang yang
terdahulu meninggalkan atau mengizinkannya.” (HR al-Bukhari)
Telah sedia maklum
bagi orang yang mempunyai akal fikir bahawa pertunangan atas pinangan orang
lain ini akan menerbitkan rasa dendam, mewariskan sifat dengki, merosakkan
ummah, menghancurkan kesatuan jama'ah serta membarahkan lagi akar adu domba dan
umpatan di kalangan kaum muslimin. Sungguhpun demikian, dalam isu meminang
perempuan yang menjadi tunangan lelaki fasiq, Ibn al-Qasim berpandangan ia
diharuskan dan pandangan beliau disokong oleh Ibn al-'Arabi al-Maliki.
Pandangan ulama
mazhab Maliki ini bertepatan dengan nas-nas Syariat pada membahaskan kriteria
yang perlu ada bagi seorang lelaki iaitu mestilah dia seorang muslim yang
memiliki keindahan akhlak dan pegangan agama. Pandangan ini juga selari dengan
kaedah fiqh iaitu: “menolak kemudaratan lebih diutamakan dari mencapai
kemaslahatan.” Oleh yang demikian, tercapailah maslahat perkahwinan apabila
seorang lelaki mampu mengajak pasangannya kepada Islam. Kalaulah ada ibu bapa
yang merelakan anak perempuannya dinikahi lelaki fasik lagi jahat, ketahuilah
sesungguhnya mereka telah mengabaikan timbangan neraca agama dan akhlak Islam.
3) Meminang perempuan yang masih dalam tempoh
'iddah
Jika seorang perempuan yang masih menjalani tempoh Ñiddah,
sama ada ia disebabkan kematian atau diceraikan suaminya, maka haram bagi orang
lain untuk masuk meminangnya hinggalah tamat tempoh tersebut. Walau bagaimanapun,
adalah diharuskan bagi lelaki untuk menyuarakan hajat untuk meminang dalam
bentuk isyarat tidak lansung, contohnya dengan mengatakan: “jika dah habis
tempoh 'iddah kau, beritahulah aku”. Ini berdasarkan firman Allah:
“Tiada halangan bagi kamu untuk meminang wanita (yang masih dalam
'iddah) dengan konotasi implisit atau kamu simpan (hajat untuk mengahwini
mereka) di dalam hati kamu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut atau
menngingati mereka (dan yang demikian itu tak salah), akan tetapi janganlah
kamu membuat janji dengan mereka secara sulit selain dari mengungkapkan ucapan
(implisit) yang sopan” [al-Baqarah: 235]
Pada kesempatan ini,
saya (penulis) ingin menjelaskan isu cincin pertunangan, di mana cincin emas
pertunangan adalah diharamkan untuk lelaki memakainya. Ada dua sebab yang
mendasari larangan ini:
Pertamanya: Taklid (terikut-ikut) secara membuta tuli dan
menyerupai kaum lain. Rasulullah melarang kelakuan ini berdalilkan hadis
daripada 'Abdullah bin 'Amr radiyallahu 'anhuma bahawa Nabi sallallahu
'alayhi wa sallam bersabda:
“Bukan dari kalangan kami mereka yang
meniru-niru kaum selain kami.
Janganlah
kalian meniru orang Yahudi dan Nasrani”.
(HR
al-Turmidhi)
Begitu juga apa yang diriwayatkan daripada Ibn 'Umar radiyallahu 'anhuma,bahawasanya
Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam bersabda:
“sesiapa
yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka.” (HR
Ahmad dan Abu Dawud)
Larangan meniru-niru
di dalam hadis tersebut ditujukan kepada lelaki dan perempuan dengan arahan
yang sama.
Keduanya: Telah diharamkan pemakaian emas bagi
lelaki. Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallam telah melarang
kaum lelaki memakai cincin emas berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ashab
al-Sunan dan al-Imam Ahmad, daripada 'Aliradiyallahu ‘anhu menceritakan
bahawa Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam pernah mengambil
sehelai sutera lalu diletakkan di kanannya. Kemudian Baginda mengambil seketul
emas lalu diletakkan di kirinya dan bersabda: “Sesungguhnya dua benda ini
adalah haram untuk kaum lelaki ummatku”. Ibn Majah menyatakan hadis ini ada
tambahannya iaitu: “Halal untuk perempuan.”
Diriwayatkan pula oleh Muslim dan Ibn Hibban,
daripada Ibn 'Abbasradiyallahu 'anhuma menceritakan bahawa
Rasulullah sallallahu 'alayhi wa sallamtelah terlihat sebentuk
cincin emas pada tangan seorang lelaki, lalu Baginda terus menanggalkannya dan
membuangnya sambil bersabda: “Salah seorang di antara kamu dengan sengaja
meletakkan seketul bara api neraka di tangannya.” Setelah Rasulullah
berlalu pergi, seorang sahabat berkata kepada lelaki tersebut: “Ambillah
semula cincin itu dan manfaatkannya.” Namun lelaki itu menolak: “Tidak!
Demi Allah aku sama sekali tidak akan mengutip sesuatu yang telah dibuang
Rasulullah.” Adapun pemakaian cincin perak bagi kaum lelaki, yang
mana ia bukan untuk pertunangan, maka perbuatan itu dibolehkan bahkan ia adalah
sunnah menurut Syarak.
( 'Ulwan, 'Abd Allah Nasih, Adab
al-Khitbah wa al-Zifaf wa Huquq al-Zawjayn (t.tp: Dar al-Salam, 1983),
47-59.)
Wallahu a'lam.